30/08/2022 – Mask Team bakal mementaskan kembali Teater “Maduku Kalut” pada 29, 30
September, 1 dan 2 Oktober 2022 bertempat di Nero Event Space, Petaling Jaya
Performing Arts Centre (PJPAC). Pementasan edisi ketiga selepas teater Maduku Kalut
(2013) dan Maduku Kalut Returns (2015) kini diberikan nama yang baharu iaitu “Maduku
Terpaling Kalut” (MTK). Diarahkan oleh Azhar Zainal, adaptasi skrip oleh Mazli Abdul
Rahman daripada karya farce comedy yang ditulis oleh Ray Cooner, “Run For Your Wife”.
Teater ini membariskan pelakon seperti Azrel Ismail, Puteri Sarah, Anna Jobling, Syafiq
Naser, Aya Amiruddin dan Curly Jow.
Pernah mendapat 6 pencalonan di Boh Cameronian Awards edisi ke 11 (2014), pementasan
teater MTK edisi ini semestinya menjanjikan sesuatu kelainan selain menggabungkan
pelakon komersial televisyen dan pempengaruh media sosial.
MTK mengisahkan tentang seorang pemandu teksi, Selamat yang berusaha untuk
melarikan diri daripada menemukan kedua-dua orang isterinya dalam satu masa. Masalah
bermula apabila kedua-dua isterinya melaporkan kehilangan Selamat kepada pihak polis
dan Selamat mencuba untuk mengelakkan diri daripada menemukan kedua-dua isterinya.
Mempamerkan nilai komersial dan mesej kekeluargaan yang tinggi, MTK bakal membawa
penonton, untuk mengupas mengenai isu semasa, secara lebih santai dan bersahaja.
Biarpun bergenre farce comedy, MTK diharapkan mampu meninggalkan kesan yang sangat
mendalam kepada penonton yang hadir.
Penerbit teater MTK, Shawn Amer berkata, pementasan teater MTK kali ini adalah lebih
daripada sebuah pementasan teater, ianya merupakan simbolik survival penggiat seni tanah
air setelah lebih dua tahun terkurung dalam fasa pandemik. Teater MTK kali ini juga
menghimpunkan penggiat seni teater yang rata-ratanya berada di dalam likungan generasi
baharu. Kelainan kali ini pastinya barisan para pelakon serta rekaan set yang lebih segar.
Penggemar teater MTK boleh mendapatkan tiket secara atas talian di www.onetix.com.my
dengan harga bermula RM88, RM118, RM168 dan RM198.