Hampir 10 tahun mencipta nama sebagai anak seni, ternyata nama Yura Yunita tidak lagi
asing buat peminat muzik di Indonesia dan Malaysia. Terkenal melalui lagu-lagu ciptaannya
yang cukup puitis, setiap karya bekas peserta pertandingan realiti, The Voice ini juga bagaikan
magis yang mampu menjadi penyembuh jiwa buat si pendengar.
Bakal membuat Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur, ternyata ini merupakan
momen penting buat penerima anugerah Artis Solo Wanita Pop Terbaik pada Anugerah
Anugerah Musik Indonesia 2022 ini.
Berkongsi perasaan teruja untuk bertemu dengan peminat di negara ini, jelas Yura tempoh
dua tahun menyimpan impian untuk beraksi secara langsung di hadapan peminat di Malaysia
membuatkan dia cukup bersyukur diberikan kesempatan ini.
Tambahnya, konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur ini juga merupakan lokasi
pertama jelajah konsertnya.
“Menjadi impian terbesar saya untuk mengadakan persembahan di Kuala Lumpur. Jadi ini
adalah antara impian yang direalisasikan, saya sangat bersyukur dengan komitmen yang
diberikan semua pihak dalam menghasilkan konsert ini.
“Paling indah, Kuala Lumpur juga merupakan lokasi pertama konsert sebelum ke lokasi lain.
Semoga dengan penghargaan kecil ini dapat melunaskan hutang saya kepada peminat di sini
yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya.
Menjadikan curahan jiwa sebagai bekal dalam karyanya, penyanyi berusia 31 tahun ini juga
memberitahu Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur akan menjadi pentas
terbaik buat dirinya berkongsi apa yang dilaluinya bukan sahaja sebagai seorang anak seni
tetapi seorang wanita dan juga isteri.
“Sejak album pertama sehingga Merakit dan kini, Tutur Batin, ada banyak perkara yang ingin
saya kongsikan bersama peminat menerusi karya.
"Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur akan menjadi pentas saya dan peminat
berkongsi rasa dan meraikan kehidupan yang penuh berliku, tetapi tidak pernah patah
semangat untuk sentiasa berjuang. Soalnya setiap daripada kita mempunyai dugaan berbeza,
sama seperti saya. Cumanya saya diberi kelebihan untuk berkongsinya melalui lagu-lagu
ciptaan saya yang akan saya persembahkan kepada peminat saya di Malaysia,” katanya.
Merupakan rakan duet mendiang Glenn Fredly untuk lagu, Cinta Dan Rahasia, Yura yang juga
penerima anugerah Pencipta Lagu Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2017 (AMI 2017)
dan menjadi Penyanyi Solo Wanita Terbaik (AMI 2018) akan membawakan lagu-lagu
terbaiknya pada konsert tersebut antaranya Tutur Batin dan Dunia Tipu-Tipu.
“Dua tahun saya menantikan saat ini, jadi saya janji untuk memberikan yang terbaik buat
penonton di konsert ini.Saya juga memohon peminat saya untuk hadir memberikan sokongan
kepada saya.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak penaja Wardah yang memberikan kepercayaan
kepada saya untuk menghiburkan peminat di sini,” katanya.
Sementara itu Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar
hati membawa Yura ke Malaysia dalam menjawab permintaan peminat penyanyi ini yang
mahukan Yura mengadakan persembahan di sini.
Yakin dengan kemampuan yang dimiliki penyanyi kelahiran Bandung itu jelas Aliya Arisya
Anuar pihaknya yakin Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur akan memukau
peminat di Malaysia.
"Karya Yura mempunyai aura yang kuat dan selalu berbicara mengenai semangat dan inspirasi
dalam kehidupan.
"Karyanya banyak menyentuh mengenai kelebihan dan kekurangan manusia sehingga
mengajak kita agar kuat percayakan diri.
"Lagu seperti Dunia Tipu-Tipu, Cinta dan Rahasia dan Tutur Batin antara bukti karya Yura
memberi inspirasi kepada kita. Disebabkan itulah, Renjana Idea mahu semangat ini
dikongsikan dalam konsert nanti," katanya.






























