Kuala Lumpur, 24 Ogos 2022 –Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker memberi
sokongan atas usaha penghasilan filem Anak Rimau The Movie yang menjalani penggambaran dalam tempoh mencabar
pada era pandemik.
Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd bukan sekadar berlatarkan sukan bola sepak, malah, mengangkat
semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak. Filem Anak Rimau The
Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat
sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian
sukan rasmi.Ia juga dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola
Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker memuji pasukan produksi Anak Rimau atas
kecekalan menerbitkan filem ini. “Ini satu cabaran hebat bagi pelakon dan kru Anak Rimau The Movie dapat menghabiskan
penggambaran filem, meskipun diuji dengan pandemik. “Proses penggambaran filem dijayakan dengan dedikasi dan
memiliki sifat kepimpinan tinggi. Aspek ini juga ditanam dalam mesej utama filem Anak Rimau The Movie iaitu memberi
inspirasi kepada anak muda mencapai cita-cita sebagai pemain bola sepak demi Malaysia,” ujarnya. Beliau hadir pada
Malam Gala Filem Anak Rimau The Movie di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.
Penerbitnya, Fadzil Manap berkata, filem memainkan peranan penting sebagai menjadi medium komunikasi kepada anak
muda untuk melakukan perubahan dalam hidup. “Saya percaya filem Anak Rimau The Movie mampu memberi impak,
pengaruh dan gaya pemikiran masyarakat. “Tujuan pembikinan filem bukan sahaja memberi semangat kepada anak muda,
tetapi bertindak sebagai medium pendidikan, informasi dan hiburan bagi membantu membina asas kukuh untuk
transformasi Malaysia,” katanya.
Filem Anak Rimau The Movie mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14
tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz
Daniel Skelchy. Naskhah menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan aktor terkenal, Beto Kusyairy, Azhan Rani dan
Adam Corrie.
Turut membintangi, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz
Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd
Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.
Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang, iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam. Disifatkan
satu kisah menyentuh hati yang mengetengahkan nilai kekeluargaan, keputusan sukar, integriti dan persahabatan, majlis
pelancaran filem Anak Rimau The Movie turut selari dengan Bulan Kemerdekaan, sekali gus menyuntik semangat patriotik
dalam kalangan rakyat serta kejohanan Piala Dunia 2022 yang akan melabuh tirai, tidak lama lagi.
Anak Rimau The Movie memaparkan kisah sekumpulan anak muda berbakat tinggi dalam dunia bola sepak yang terdiri
daripada pelbagai kaum ketika menyertai Akademi Bola Sepak Malaysia (Anak Rimau Academy). Mereka mengharungi
pelbagai cabaran sebagai individu dan berpasukan ketika menghadapi fasa baru dalam dunia bola sepak.
Pemain perlu menentang cabaran peribadi dan halangan pasukan, sebelum berfikir mengenai kemenangan. Keazaman dan
ketabahan pemain diuji menerusi kerjasama, isu keluarga, halangan hidup dan perlumbaan untuk menjadi yang terbaik
demi memenangi Piala Jemputan Bola Sepak Belia ASEAN.
Selain itu, filem ini juga menekankan kebaikan akan sentiasa datang kepada mereka beriman dan berani berpegang kepada
kebaikan dalam diri dan orang lain seperti slogan Anak Rimau The Movie - ‘bola itu bulat’