JAMINAN SEKURITI MAKANAN TERUS DIPERKUKUH KE PASARAN GLOBAL
DEMI KELESTARIAN KELUARGA MALAYSIA
SERDANG, 8 Ogos 2022 – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)
menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada hari ini telah
menganjurkan Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Anjuran Kementerian Pertanian
dan Industri Makanan Sempena MAHA 2022 di pentas utama Dewan A, MAEPS,
Serdang.
Pemeteraian Kerjasama Strategik tersebut melibatkan empat memorandum yang
disaksikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali, Menteri Kanan Perdagangan
Antarabangsa dan Industri dan YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian &
Industri Makanan.
Majlis ini menunjukkan kerjasama yang jitu antara MAFI dan MITI dalam membantu para
usahawan menembusi pasaran global dan seterusnya dapat meningkatkan imej produk
keluaran usahawan tempatan setanding dengan jenama pasaran global.
Hasil pemeteraian empat memorandum hari ini telah berjaya menghasilkan nilai RM451
juta termasuk padanan perniagaan.
MAFI melalui FAMA sentiasa membantu para usahawan dalam menerokai luang eksport
yang tersedia bagi menggalakkan usahawan PKS Malaysia untuk menceburi bidang
pengeksportan yang memiliki potensi pasaran yang lebih luas.
Ini juga menunjukkan hasil peranan FAMA dalam menyediakan khidmat nasihat dan
bimbingan eksport kepada usahawan PKS atau bakal pengeksport serta mengatur sesi
padanan perniagaan (Business Matching) di antara usahawan PKS Malaysia bersama
pengimport berpotensi.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) FAMA memberi fokus kepada
pembangunan agen pemasar di luar negara dalam usaha mempertingkat dan
memperkukuhkan pasaran eksport produk agromakanan Malaysia di peringkat global.
Melalui kaedah ini, agen yang dilantik bertanggungjawab untuk melaksana aktiviti risikan
pasaran, mengenalpasti luang pasaran baru serta melaksana program promosi di
destinasi eksport terpilih. Mereka juga akan mengenalpasti produk yang berpotensi untuk
menembusi sesuatu pasaran serta penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi mematuhi
syarat dan peraturan pihak berkuasa makanan di destinasi eksport.