KUALA LUMPUR, 17hb OKTOBER 2022 - PH7 Production Management akan
mementaskan sebuah teater untuk kanak-kanak bertajuk Inang Popin pada 27
Oktober 2022 hingga 30 Oktober 2022, di KuAsh Theatre, Pusat Kreatif Kanak-kanak
Tuanku Bainun, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Teater karya dan arahan Hariry
Jalil ini dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia
(MoTAC) menerusi Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK).
Inang Popin mengisahkan Ana dan Noman, dua orang kanak-kanak yang
mengharapkan perlindungan setelah kematian ibu bapa dan kampung mereka pula
telah dimusnahkan oleh Tuan Tamak. Mereka membawa diri ke hutan untuk mencari
Inang Pengasuh yang menjadi dongeng orang kampung. Setelah menempuhi
pengembaraan yang mencabar, akhirnya mereka berjaya bertemu Inang Pengasuh
yang memiliki kuasa sakti.
Inang Pengasuh yang dianggap sebagai ‘Mary Poppins’ itu, menjaga serta mengasuh
Ana dan Noman supaya menjadi manusia yang bertanggungjawab ke atas kelestarian
hutan. Apabila Tuan Tamak menceroboh hutan demi keuntungan peribadi, Ana dan
Noman telah berani bertindak mempertahankan hutan.
“Saya ingin berkongsi rasa tanggungjawab ke atas khazanah semula jadi kepada
anak-anak yang merupakan pewaris negara ini; dan saya percaya, kita sebagai orang
dewasa hari ini adalah penentu masa depan yang lebih baik buat anak-anak. Medium
teater dipilih kerana ruang teater yang bersifat akrab dapat menghantar rasa antara
karya dengan penonton,” kata penulis dan pengarah Inang Popin, Hariry Jalil.
Menyentuh kaitan watak ciptaan penulis Inggeris P. L. Travers iaitu ‘Mary Poppins’ di
dalam karya ini, Hariry menjelaskan, “Inang Popin merupakan karya pertama saya
untuk kanak-kanak. Sebelum ini, saya menulis lakon pentas dengan mengangkat isu
dewasa seperti Beng Hock, Le Jeu La Julia, Selamat Hari Natal – Natalie, Surat
Sabariah dan Orang Asing. Watak pengasuh sakti Mary Poppins dicipta P. L. Travers
sebagai memenuhi harapan kanak-kanak di samping mendidik anak-anak supaya
menjadi lebih berani dan berdikari. Watak fiksyen ini telah memberi inspirasi kepada
saya untuk mencipta watak Inang Popin, gabungan watak Inang Pengasuh di dalam
cerita-cerita persembahan tradisional Melayu seperti Bangsawan dan Mak Yong,
dengan gambaran watak yang lebih dikenali kanak-kanak masa kini. ‘Popin’ adalah
sebutan kolokial kepada ‘Poppins’.”
Patricia Gui dan Hamidon Ab. Hamid, adalah penerbit yang merealisasikan teater
untuk kanak-kanak ini ke pentas. Dengan pengalaman lebih 30 tahun di dalam
pengurusan seni persembahan baik tempatan mahu pun antarabangsa, menerima
GSSK merupakan sebuah galakan daripada MoTAC kepada penggiat seni teater
tanahair agar terus kekal berkarya setelah 2 tahun berada di dalam ‘era gelap’.
“Selain galakan daripada kerajaan, kami sebagai penggiat seni teater juga
mengharapkan sokongan daripada pihak korporat. Industri seni persembahan
tanahair masih belum bertemu sebuah formula menjana pendapatan daripada
pementasan, memandangkan kesedaran masyarakat terhadap teater belum menjadi
budaya seperti di negara barat. Oleh itu, galakan dan sokongan kerajaan dan korporat
masih diperlukan demi kelestarian seni teater tanahair,” kata Patricia dan Hamidon.
Tambah mereka lagi, “Teater kanak-kanak di negara kita kurang mendapat perhatian
berbanding teater konvesional. Kami mengambil inisiatif ini untuk memperbanyakkan
lagi kewujudan teater kanak-kanak, walau pun Inang Popin tidak melibatkan pelakon
kanak-kanak, tetapi isu dan konsep persembahannya memang khusus untuk kanakkanak. Kehadiran murid-murid sekolah amat dialu-alukan.”
Inang Popin dijayakan oleh Nasz Sally sebagai Inang Popin, dan turut dibintangi oleh
Aloeng Silalahi, Ghadafi Meliki dan Aida Amron. Inang Popin dipentaskan di KuAsh
Theatre, Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala
Lumpur; pada 27 Oktober 2022 (Khamis) & 28 Oktober 2022 (Jumaat), jam 8.30
malam; pada 29 Oktober 2022 (Sabtu), jam 3.00 petang & 8.30 malam; dan pada 30
Oktober 2022 (Ahad), jam 3.00 petang. Tiket berharga RM30 untuk kanak-kanak &
RM50 untuk dewasa. Pembelian tiket pakej keluarga hanya RM120 untuk 2 kanakkanak & 2 dewasa. Hubungi 010-248 5068 (Wany) untuk pembelian tiket.