Pernahkah, ciptaan sepenuhnya oleh Amir Jahari dan nyanyian oleh Amir Jahari dan Lydbie merupakan taruhan pertama daripada 10 lagu yang terkandung dalam album Joget : Made In Malaysia.
Album Joget : Made in Malaysia adalah sebuah projek terbitan Luncai Emas Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerusi Dana Kandungan Digital. Ia adalah sebuah projek yang mengangkat irama joget ke dalam karya-karya terbaru generasi muda.
Selain itu, objektif penerbitan album ini adalah untuk memperbanyakkan lagi lagu-lagu joget melayu kepada versi yang lebih kontemporari, inovatif, dinamik dan menjadi sebahagian proses rejuvenasi muzik Malaysia. Album ini menggabungkan kepakaran penggiat seni professional, pensyarah dan pelajar muzik dan seni dari empat institusi pengajian tinggi awam iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bersama artis-artis baru pelapis masa hadapan seperti Luca Sickta, Kmy Kmo dan Putri Khareeza.
“Menjadi cita-cita saya agar irama tradisi Malaysia menjadi sebagai “force” dalam penciptaan muzik moden Malaysia. Maka dengan melihat kerancakan populariti muzik “dance” dan “world beat” saya terpanggil untuk menjadikan rentak tradisi Malaysia sebagai taruhan kerana elemen “dance” yang ada pada semua rentak tradisi ini. Joget dipilih untuk taruhan pertama” kata Dato M.Nasir di sidang media album Joget : Made In Malaysia di World Trade Center (WTC) pada bulan Oktober yang lalu.
Amir Jahari yang asalnya dari Sarawak, cukup terkenal kerana pencapaiannya sebagai seorang artis, pencipta, dan pemuzik yang membawakan muzik bergabung dengan bunyi-bunyian etnik, folk dan pop, kali ini berpadu suara dengan Lydbie, penyanyi muda juga dari Sarawak. Genre muziknya adalah jazz dan r&b. Lydbie telah berkecimpung dalam dunia muzik sejak umur 10 tahun.