PAMERAN HANYA SATU: ATMA KIRANA HAYATI RUKUN NEGARA DAN WARISAN BUDAYA MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara menerusi Pameran Hanya Satu (Single) membawakan karya yang bertajuk 'ATMA KIRANA' oleh Abdul Shakir atau lebih dikenali sebagai Grasshopper bermula pada 9 Ogos 2023 di ruang lobi bangunan Galeri Balai Seni Negara. Grasshopper merupakan seorang artis multimedia terkenal di Malaysia yang sering menghasilkan karya seni digital dan interaktif. ATMA KIRANA merupakan sebuah eksplorasi seni yang mendalam dan menekankan rukun negara sebagai subjek utama. Atma Kirana diterjemahkan melalui Bahasa kuno Melayu atau Sanskrit sebagai “jiwa yang indah". Ia merupakan koleksi visual digital yang dipersembahkan melalui lima variasi bunga motif berdasarkan prinsip rukun negara iaitu Percaya, Setia, Luhur, Adil dan Baik. Karya ini memberi kesan animasi melalui bentuk dan cahaya yang menakjubkan dan dipamerkan menerusi koreografi instalasi daripada 100 panel LED tergantung yang diletakkan dengan teratur untuk membolehkan orang ramai melihat karya ini dari pelbagai sudut pandang dan seterusnya dihayati. Selain itu, bagi melahirkan komitmen terhadap kelestarian alam, panel LED yang digunakan bagi pameran ini terdiri daripada panel yang telah dikitar semula daripada papan iklan di sekitar bandar.  ATMA KIRANA disokong oleh Yayasan TM (YTM) melalui ‘Digital Tech Incubator Programme (DTI)’.  ATMA KIRANA turut dijayakan oleh Pixel World, Helio Media, iNYALA, Filamen, PORT Ipoh, Converse Malaysia, dan RUBIX Communications. Dalam pada itu, beberapa program sokongan seperti sesi perkongsian oleh artis serta bengkel bakal diadakan bagi meraikan pameran ini. Justeru, seiring dengan sambutan Hari Malaysia yang bakal menjelang, Balai Seni Negara menjemput orang ramai untuk melawat karya seni yang menerapkan nilai dan prinsip rukun negara agar ianya dapat dihayati dan dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.Pameran ini dibuka kepada orang ramai sehingga 30 Oktober 2023 dan masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara. Karya instalasi seni digital bertajuk “Atma Kirana” dalam Bahasa kuno Melayu/Sanskrit merangkumi nilai sebuah Jiwa Murni. Melalui karya seni yang menarik ini, artis meneroka kepentingan Rukun Negara sebagai subjek utama.Terdiri daripada lima buah karya visual digital yang berbeza iaitu "Percaya", "Setia", "Luhur", "Adil" dan "Baik" yang terungkap dengan indah, masing-masing mewakili aspek berbeza tentang pengalaman manusia dan nilai-nilai teras yang membentuk masyarakat.“Percaya” menyelubungi khalayak dengan keindahan bunga Teratai yang sedang berkembang mekar, mengingatkan kita tentang kuasa keyakinan dan kepercayaan. "Setia" mengajak kita untuk menghayati keanggunan motif bunga Luffa yang melambangkan kesetiaan dan dedikasi. "Luhur" meneroka sifat transformatif "Bunga Keledek" dan kesalinghubungan semua perkara."Adil" menimbulkan rasa keseimbangan dan keadilan melalui paparan bergaya motif bunga Kunyit, manakala "Baik" secara lembut menjelmakan keanggunan dan kesederhanaan bunga Orkid. Secara keseluruhannya, paparan visual ini mencipta keharmonian warisan budaya, nilai peribadi dan aspirasi secara kolektif.Ketika khalayak menyelami dunia Atma Kirana yang bercahaya, mereka digamit untuk merenung perjalanan pencarian diri, introspeksi dan perkembangan diri mereka sendiri. Karya instalasi ini adalah sebagai pemangkin untuk introspeksi, mendorong renungan tentang pengalaman manusia dan nilai-nilai bersama yang menyatukan kita.Menerusi interaksi teknologi digital dan motif tradisional, Atma Kirana meraikan gandingan masa lalu dan masa kini, menjadi bukti kukuh tentang sifat budaya yang berkembang dan semangat kemanusiaan yang masih bertahan. Instalasi tersebut turut memberi nafas baharu kepada panel LED kitar semula yang diambil daripada papan iklan di tepi jalan, dengan memberikannya nilai yang bertenaga. Setiap karya visual mewakili prinsip Rukun Negara yang khusus, mencipta simfoni warna, bentuk dan simbol yang harmoni.Dengan hasrat yang mendalam untuk membangkitkan rasa perpaduan dan kebersamaan, pengkarya menginterpretasi bentukan visual menerusi motif-motif tempatan dengan baik, mendapatkan ilham daripada corak tenunan songket Malaysia yang rumit. Pilihan motif songket untuk medium panel LED kelihatan sempurna, menghasilkan gabungan seni tradisional dan teknologi moden yang menawan.Ketika khalayak menyatukan diri mereka dengan karya seni tersebut, mereka akan menemui kesan pikselasi analog gabungan tradisional dan kontemporari yang memukau. Kesan ini menambah kedalaman dan tekstur yang unik pada karya, meningkatkan lagi interaksi antara motif tempatan dan landskap piksel digital."Atma Kirana" ialah representasi hebat tentang kesalinghubungan dan nilai bersama yang membentuk asas sebuah masyarakat bersatu. Melalui visual yang ditimbulkan dengan penggunaan panel LED secara mahir, karya seni ini mengundang penonton untuk merenung akan kepentingan perpaduan, menganyam naratif visual yang meraikan kekayaan warisan budaya Malaysia dan potensinya untuk memupuk sekumpulan Jiwa Murni. 


Percaya
1080px x1080px
(Saluran Tunggal)
2023

Melalui karya seni bertajuk "Percaya", saya ingin meneroka kekuatan simbolisme bunga Teratai. Melukis inspirasi daripada keindahan bunga Teratai dan menggabungkan motif songket "Tampuk Berembang" dan "Awan Larat" yang halus, karya seni ini mengajak khalayak untuk menghayati makna yang lebih mendalam yang dikaitkan dengan unsur-unsur semula jadi yang merentasi masa.

Teratai menjadi perlambangan penting dalam pelbagai agama di dunia. Ia merupakan simbol kesucian yang tinggi, muncul dengan anggun dari kolam berlumpur tanpa sebarang noda, mewakili pencerahan dan penyampaian nilai-nilai spiritual. Perkaitan Teratai dengan keyakinan dan kesucian diterjemahkan melalui tenunan halus pada fabrik karya seni ini.  

Motif songket "Tampuk Berembang" memperkayakan lagi simbolisme karya seni yang melambangkan kesucian, kasih sayang dan kebaikan. Coraknya yang halus membangkitkan rasa ketenangan dan keharmonian, melengkapkan kualiti yang ada pada Teratai.

Melalui gabungan visual bunga Teratai dan motif songket "Tampuk Berembang" dan "Awan Larat", "Percaya" mengajak penonton untuk merenung tema universal keyakinan, kesucian, dan kebaikan yang wujud dalam diri manusia. Karya seni berfungsi sebagai peringatan yang kuat untuk menatang kepercayaan kita dan mempercayai potensi untuk pertumbuhan serta pencerahan spiritual.

"Percaya" menggamit penonton untuk merenung perjalanan keyakinan mereka sendiri dan kuasa transformatif untuk menyantuni kesucian dan kebaikan. Ia bertindak sebagai gambaran visual semangat daya tahan manusia dan keindahan berkekalan yang boleh timbul daripada situasi yang mencabar.

Setia
1080px x1080px
(Saluran Tunggal)
2023

Melalui karya seni bertajuk "Setia", saya ingin meneroka perlambangan agung Bunga Petola, juga dikenali sebagai bunga Luffa, yang terdapat dalam motif songket Melayu tradisional. Karya seni ini merangkumi intipati keagungan, kebanggaan dan kemewahan, mengambil inspirasi daripada kepentingan bunga Luffa sebagai simbol diraja.

Bunga Luffa, dengan warna kuning yang menyerlah, memancarkan rasa yang bertenaga dan keindahan penuh megah. Kehadirannya yang mekar di hujung buah membangkitkan keterampilan luar biasa, semacam sebuah mahkota menghiasi tumbuhan. Bunga menjadi sebuah kenyataan tentang golongan diraja Melayu, melambangkan kemuncak keanggunan dan kehalusan. Kuning, dengan kecerahannya, adalah warna rasmi yang dikaitkan dengan golongan diraja Melayu, menekankan lagi elemen berkenaan sistem diraja melalui karya tersebut.

Karya “Setia” menyatukan motif ikonik pagar istana secara berterusan. Motif-motif ini melambangkan pagar istana tradisional, mewakili kekuatan, perlindungan dan kebangsawanan. Penggabungan motif pagar istana menambah lapisan makna tentang kepentingannya, meningkatkan lagi intipati diraja pada karya.

Melalui gabungan perlambangan diraja bunga Luffa, kemeriahan warna kuning dan pemasukan motif pagar istana, "Setia" merakam semangat keagungan warisan Melayu. Karya seni itu menjemput khalayak untuk menyelami nuansa kemegahan agung yang memikat serta menghargai kekayaan simbolisme budaya yang terkandung pada setiap sapuan berus.

“Setia" merupakan sebuah kenyataan tentang legasi golongan diraja Melayu yang berkekalan, merayakan kepentingan diraja dan rasa bangga pada motif tenunan songket yang halus. Ia adalah sebuah perayaan tradisi murni dan keagungan sebuah warisan yang terus memberi inspirasi dan menawan hati.

Luhur
1080px x1080px
(Saluran Tunggal)
2023

Dalam karya seni bertajuk "Luhur", saya ingin menyelami perlambangan mendalam Bunga Keledek, atau bunga Ubi, untuk meneroka watak terpuji iaitu pencapaian yang tenang dan kesalinghubungan dengan tindak-tanduk kita. Diilhamkan daripada pepatah Melayu 'diam-diam ubi berisi', karya seni ini meraikan kuasa transformatif usaha-usaha belakang tabir yang dibuat secara halus.

Bunga Ubi Keledek, diwakili oleh motif "Kuntum Bertaut", merangkumi nuansa pergerakan dan kesalinghubungan. Sama seperti pautan kelopak dan tunas bunga yang melambangkan pergerakan dan perhubungan mereka, ia mencerminkan jaringan saling kebergantungan yang rumit yang meresap ke dalam dunia kita. Melalui motif ini, karya seni memberi tanggapan bahawa setiap tindakan, walaupun kelihatan tidak begitu penting, bergema dan menyumbang lebih menyeluruh, sama seperti fenomena ‘butterfly effect’.

Dengan sebelah corak dipersembahkan naik ke atas dan sebelah lagi melengkung lembut ke tepi, motif itu memaparkan hasil kerja yang teliti, mengangkat semangat ‘diam diam ubi berisi’. Keindahannya tercapai tanpa memerlukan perbuatan yang berlebih-lebihan ataupun promosi diri, meraikan secara diam-diam kekuatan dan kepuasan yang ada dalam diri.

Dalam keadaan motif yang berulang-ulang, terdapat corak seperti gelombang yang melambangkan kesan getaran yang dihasilkan oleh setiap tindakan bermakna. Ia menandakan bagaimana setiap usaha, tidak kira sekecil mana pun, boleh menjana impak transformatif, secara senyap tetapi pasti mempengaruhi mereka yang terlibat dan akhirnya membentuk dunia. Bersama-sama, tindakan yang saling berkaitan ini mewujudkan realiti baharu, sebuah bentangan indah hasil usaha kolektif yang memanfaatkan ramai.

"Luhur" menjemput penonton untuk merenung tentang kesalinghubungan yang mendalam dalam tindakan kita, mengakui kuasa kehalusan dan pencapaian yang tenang. Ia menjadi peringatan bahawa sumbangan paling kecil kita adalah berpotensi untuk mencipta perubahan penting, menghasilkan gema yang tidak kelihatan dalam membentuk dunia di sekeliling kita.



Adil
1080px x1080px
(Saluran Tunggal)
2023

Dalam karya seni bertajuk "Adil", saya ingin meraikan kepentingan ketara Bunga Kunyit, sebagai sebuah simbol yang merangkumi inti pati alam Melayu. Karya seni ini meneroka nilai keindahan, struktur, kegunaan, keseimbangan dan keadilan yang diwakili oleh motif bunga Kunyit.

Bunga Kunyit, dengan bentuk segi tiga dan pertumbuhan ke atas, membangkitkan rasa kekuatan dan daya tahan. Bentuknya mengingatkan kita pada susunan sirih junjung, ciri yang menonjol dalam majlis perkahwinan tradisional Melayu. Motif yang dinamakan “Kunyit Susun” itu merujuk kepada penyusunan dan perancangan yang disengajakan yang menggemakan amalan budaya dan nilai orang Melayu.

Kesederhanaan dan garisan motif yang bersih menyumbang kepada daya tarikan visualnya yang tersendiri. Walaupun tidak mempunyai keriting atau lengkung yang rumit, ia menghadirkan bentuk yang penuh yakin dan kukuh. Kedudukan bunga yang tegak melambangkan komitmen orang Melayu untuk mempertahankan dan memelihara kekayaan warisan mereka, serta menegakkan apa yang benar. Ia merangkumi kekuatan, keindahan dan nilai yang mentakrifkan budaya Melayu.

"Adil" mengajak penonton merenung tentang kepentingan keseimbangan dan keadilan, seperti yang terkandung dalam bunga Kunyit. Karya seni berfungsi sebagai gambaran visual semangat Melayu, menggambarkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk menegakkan prinsip moral dan keadilan. Ia bercakap tentang kepentingan yang mendalam untuk memelihara warisan budaya dan nilai-nilai yang membentuk masyarakat.

Melalui bentuk ketara motif bunga Kunyit, "Adil" memberi penghormatan kepada kekuatan, keindahan dan nilai budaya Melayu yang berkekalan. Ia berfungsi sebagai peringatan tentang kepentingan keseimbangan dan keadilan, memberi inspirasi kepada khalayak untuk menerima kebaikan ini dalam kehidupan dan komuniti mereka sendiri.

Baik
1080px x1080px
(Saluran Tunggal)
2023

Dalam karya seni bertajuk "Baik", saya ingin mendapatkan inspirasi daripada Bunga Orkid untuk meneroka kualiti halus lagi mendalam yang mencerminkan inti pati budaya dan identiti Melayu. Karya seni ini merakam keindahan Orkid yang halus dan bersahaja, melambangkan kerendahan hati, budi dan penjelmaan nilai budaya Malaysia.

Orkid, sebagai tumbuhan, menerbitkan semacam rasa kerapuhan. Keadaannya yang lembut dan keindahannya yang tidak diraikan menjadi cerminan kerendahan hati dan perlakuan budaya orang Melayu, memberi contoh ciri-ciri “Baik”. Motif yang dikaitkan dengan bunga ini yang bernama Bunga Anggerik Air dengan sempurna merangkumi kehalusan bunga itu dan kepentingannya dalam budaya Melayu.

Melalui ekspresi kelembutannya, bunga Orkid mewakili manifestasi artistik dan gaya komunikasi halus yang meresap dalam kraf Melayu, gaya hidup, pakaian, pemikiran dan pelbagai bentuk ekspresi. Motif yang terdapat pada bunga ini mewakili inti pati identiti nasional Malaysia, bergema secara universal dengan individu dari semua lapisan masyarakat.

Baik" mengajak khalayak untuk menghayati keanggunan dan keindahan yang terdapat dalam kehalusan budaya Melayu. Karya seni berfungsi sebagai gambaran visual identiti negara, menekankan nilai universal kerendahan hati, budi dan komunikasi yang baik. Ia membangkitkan rasa saling berkait dan penghargaan terhadap kualiti-kualiti yang membentuk masyarakat Malaysia.

Melalui penampilan motif Orkid yang lembut, "Baik" meraikan kewujudan identiti budaya Malaysia dan keindahan yang terdapat di d alamnya. Ia berfungsi sebagai peringatan untuk menyantuni kerahmatan, kerendahan hati dan ekspresi yang lembut dalam kehidupan kita sendiri, memupuk pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam demi kepelbagaian yang menyatukan kita.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan