Penyanyi muda berbakat, Eriza, 21 tahun, atau nama sebenarnya Ismar Eriza Allya mempertaruhkan
bakat nyanyiannya dengan melancarkan lagu pertama beliau berjudul, ‘Demi Kasih’. Eriza yang
membuat kemunculan sulungnya dengan single terbarunya, mendedahkan bahawa pemilihan lagu
'Demi Kasih' sebagai lagu debutnya adalah hasil daripada minat mendalamnya terhadap genre muzik
balada.
“Saya memilih lagu ini sebagai debut pertama kerana saya sangat sukakan muzik balada dan mahu
mencubanya. Lagu-lagu balada mempunyai daya ungkapan emosi mendalam yang membuatkan
saya tertarik dengannya” kata Eriza.
Eriza turut menyatakan bahawa lagu ‘Demi Kasih’ hasil komposer dan penulis lirik, Dato Ayu Omel,
ini mempunyai jiwa & emosi yang tersendiri apabila menyampaikan lagu ini.
“Ketika mendengar demo lagu tersebut, hati saya terus tertarik pada lirik dan melodinya. Saya suka
bagaimana penulis lirik menggambarkan jiwa seorang wanita yang melalui detik sukar dalam
hidupnya apabila terpaksa melepaskan seorang lelaki yang banyak berkorban untuknya.
“Lagu ini agak mencabar bagi saya pada permulaannya, tetapi hasil dari bimbingan semua pihak di
label D’Ayu Music memberikan keyakinan bahawa lagu ini akan berjaya menawan hati pendengar
terutama mereka yang mengalami situasi yang sama seperti mesej di dalam lagu ini.”
Dato Ayu Omel, sebagai komposer dan penulis lirik, telah mencipta sebuah karya yang sungguh
menarik, dan melalui penyampaian penuh emosi Eriza, lagu 'Demi Kasih' dijangka akan menjadi
pilihan hati ramai pendengar.
“Eriza kini berada di landasan yang tepat untuk meraih kejayaan dalam dunia muzik, dan kita semua
berharap untuk menyaksikan perjalanan kerjayanya yang semakin cemerlang.
“Demi Kasih' adalah lagu yang pasti akan membawa kita dalam pengembaraan melalui emosi yang
sejati” kata Dato Ayu Omel.
Walaupun masih menuntut pelajaran di sebuah universiti tempatan, Eriza telah membuktikan
bahawa beliau mampu menguruskan masanya dengan baik dan menganggap perjalanan ini sebagai
liku-liku yang perlu dilaluinya dalam meniti kerjaya dalam industri muzik yang mencabar ini.
Menurut pengurus D’Ayu Music, Nazim Othman, proses persiapan segala bahan lagu ini dibuat
dengan teliti terutama pada lagu dan muzik video ‘Demi Kasih’ ini. Muzik video ini adalah hasil
produksi dari Motawh Production yang diarahkan oleh As’ad Motawh.
“Apa yang menarik mengenai muzik video ‘Demi Kasih’ ini adalah kami menerapkan bakat lakonan
dan nyanyian Eriza di dalamnya. Muzik video ini berkonsepkan penceritaan agar mood yang
disampaikan dalam lagu ini lebih berkesan kepada pendengar.
“Pengalaman lakonan Eriza sebelum ini sangat membantu dalam proses menyiapkan muzik video
ini” ujarnya.
Eriza sebelum ini telah berlakon di dalam sebuah filem ‘Harum Malam’ arahan pengarah terkenal
Dain Said, dan beliau telah selesai persiapan akhir untuk sebuah filem yang akan ditayangkan pada
tahun hadapan.
Untuk makluman, lagu ‘Demi Kasih’ telah dilancarkan pada 13 Oktober lalu di semua digital
streaming bersama Muzik Video di Youtube Channel D’Ayu Music.