FESTIVAL PERMAINAN MALAYSIA @ KUALA LUMPUR KEMBALI LAGI


 KUALA LUMPUR, 7 September 2022 – Seramai 1368 peserta terdiri daripada badan beruniform dan sektor korporat akan terlibat dalam Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2022 yang akan berlangsung pada 23, 24 dan 25 September 2022 bertempat di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. 

Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2022 atau ringkasnya FPM@KL 2022 merupakan salah satu program di bawah Kalendar Pelancongan Budaya yang diadakan setiap tahun bagi mengetengahkan keunikan seni budaya negeri. Selaras dengan itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerusi JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengangkat permainan Malaysia sebagai teras bagi program ini dan disokong oleh lain-lain pengisian untuk penglibatan masyarakat. Program yang telah memasuki tujuh (7) tahun penganjurannya berkonsepkan festival yang merangkumi pelbagai aktiviti dan pengisian seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, pameran, demonstrasi, persembahan serta jualan.


Pengisian utama FPM@KL 2022 adalah pertandingan permainan tradisional 
di antara badan beruniform dan juga sektor korporat yang akan dikelolakan oleh Kelab Sukan Tradisional Harmoni. Selain pertandingan permainan tradisional antara badan beruniform dan sektor korporat, orang ramai berpeluang bagi menyertai Permainan Lagenda Rakyat seperti kelereng, kaki hantu, lari dalam guni berkembar, tarik upih / guni dan terompah gergasi.

Selain itu juga, bersempena FPM@KL 2022 turut diadakan adalah Kejohanan Tarik Tali Terbuka Malaysia dan Pertandingan Pocket Bike yang akan melibatkan pelumba cilik terdiri daripada kanak-kanak. Pertandingan Gasing Pangkah yang juga dikenali sebagai MyGasing Championship akan turut 
diadakan. Selain melibatkan penyertaan daripada negeri-negeri di Malaysia, 
dua pasukan antarabangsa iaitu Singapura dan Brunei juga dijangka akan turut serta dalam Pertandingan Gasing Pangkah pada tahun ini.

Bagi memeriahkan lagi penganjuran FPM @ KL 2022, dua acara larian akan diadakan iaitu Larian Keluarga Malaysia dan KL Cultural Fun Run & Ride. 

Acara ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman web www.raceasia.com.

“Selain bertujuan menyemarakkan permainan tradisional dan sukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia, besar harapan saya agar festival ini terus mengangkat dan memulihara keunikan kesenian serta kepelbagaian warisan tradisi rakyat Malaysia. Selain itu juga, penganjuran festival ini diharap akan dapat menyediakan peluang penjanaan pendapatan kepada usahawan seni budaya dan penggalakkan ekonomi setempat melalui pengisian jualan bazar seni yang akan diadakan nanti”. Kata Tuan Haji Mesran bin Mohd Yusop, 
Ketua Pengarah JKKN dalam kenyataannya hari ini.


Majlis Perasmian Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2022 akan 
diadakan pada 24 September 2022 (Sabtu) jam 9.00 pagi di Dataran Merdeka, 
Kuala Lumpur dijangka akan disempurnakan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia 

Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan 
Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim, Menteri Wilayah 
Persekutuan.
Maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh 
melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari 
facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan